A review by miss_tsundoku
Chain Mail: Addicted to You by Hiroshi Ishizaki, Richard Kim, Rachel Manija Brown

4.0

Chain Mail: Addicted to You adalah sebuah novel remaja yang saya temui secara tak sengaja di celah-celah manga dan komik. Yang menyebabkan saya tertarik kepadanya ialah kulit depannya yang kawaii.

Novel psychological thriller ini berkisar tentang pergolakan jiwa remaja yang sering disalah erti oleh orang dewasa, dan tekanan to be accepted and fit in. Ia mengisahkan empat remaja yang tidak mengenali antara satu sama lain berkolaborasi menulis satu fiksyen di Internet mengikut perspektif masing-masing.

Ianya bermula apabila suatu hari Sawako, seorang remaja yang kesepian, menerima emel daripada Yukari yang menjemputnya ‘mencipta dunia lain’ dengan menulis fiksyen di laman web Chain Mail bersama-sama. Dengan menjemput Mai dan Mayumi secara rawak melalui emel, mereka akhirnya mencipta satu fiksyen yang setiap seorang daripada mereka menjadi watak di dalamnya dan bercerita mengikut perspektif masing-masing. Watak-watak mereka adalah seorang gadis sekolah menengah (Sawako) yang diekori oleh seorang stalker lelaki (Yukari), tutor/teman lelaki gadis (Mai) dan seorang detektif (Mayumi).

Namun, sempadan antara dunia fantasi dan realiti mereka mulai kabur apabila Sawako suatu hari menulis bahawa dia rasa dirinya benar-benar diekori. Sawako kemudiannya ‘hilang’ dari laman Chain Mail, ditambah dengan laporan akhbar tentang seorang remaja sekolah yang hilang dan kemungkinan diculik. Mai dan Mayumi yang berasa khuatir dengan ‘kehilangan’ Sawako di alam fantasi mulai mencari Sawako sebenar di alam realiti.

Novel ini adalah sebuah novel yang mendebarkan, dan termasuk dalam kategori buku ‘kalaulah-aku-tak-kerja-esok-memang-aku-khatamkan-malam-ini-juga.’ Penulis bijak mengeksploitasi lenggok bahasa dan melihat perspektif melalui empat pasang mata remaja yang berlainan. Dalam watak Yukari si stalker misalnya, stalker tersebut digambarkan seorang yang sakit jiwa. Yukari mencipta watak stalker tersebut dengan amat sempurna, sehingga saya membaca fiksyen mereka pun berasa gementar dan takut jika watak tersebut benar-benar wujud. Novel ini juga turut memuatkan beberapa prinsip dan falsafah Nietzsche yang digemari Sawako.

Walau bagaimanapun, novel ini sedikit mengecewakan di pengakhirannya apabila penulis membuat rumusan tentang semua peristiwa yang berlaku. Mungkin saya sebenarnya lebih suka jika penulis memberikan pembacanya kebebasan untuk mentafsir sendiri peribadi watak-watak di dalam novel ini.