A review by nisah_books
Pergi by Tere Liye

4.0

'Dulu kamu bertanya tentang definisi pulang dan kamu berhasil menemukannya, bahawa siapa pun pasti akan pulang ke hakikat kehidupan. Kamu akhirnya pulang menjenguk pusara bapak dan mamakmu, berdamai dengan masa lalu yang menyakitkan. Tapi lebih dari itu, ada pertanyaan penting berikutnya yang menunggu dijawab. Pergi.'

Buku terakhir sesuai dengan tajuk 'Pergi', demi meraikan tahun 2020 yang baru sahaja melabuhkan tirai. Pergi adalah karya Tere Liye, sambungan kepada buku pertama yang berjudul Pulang. Kalau Pulang menceritakan kisah hidup Bujang yang menjadi tukang pukul keluarga Tong, Pergi menyambung kisah di mana Bujang kini menggantikan jawatan sebagai tauke besar Keluarga Tong dalam penguasaan 'shadow economy' di rantau Asia Pasifik.

Watak-watak masih sama iaitu Si Babi Hutan/Bujang/Agam, Salonga, Togar, Si Kembar, White, Edwin dan juga Basyir. Watak baru juga diperkenalkan sesuai dengan perkembangan plot cerita yang kini tampak lebih complex, menyelusuri sejarah kehidupan dan percintaan Samad iaitu bapa kepada Bujang. Arah tuju dan visi Bujang setelah diangkat menjadi tauke besar keluarga Tong juga menimbulkan kecelaruan yang melibatkan moralitinya untuk memilih dan memihak di antara yang baik atau buruk dan yang benar atau salah.

Jika novel Pulang bercerita tentang mencari kedamaian, novel Pergi ini adalah kisah mengenal pasti arah tuju setelah berdamai dengan masa lalu. Kerana berdamai sahaja tidak cukup, kita juga perlu meneruskan perjalanan hidup. Justeru, kedua-dua karya Tere Liye ini (Pulang & Pergi) saling melengkapi antara satu sama lain.